PROJEK
Projek Sosial: Program Agihan Hari Raya YK
(April 2025)
Sambutan Aidilfitri sinonim dengan rasa syukur, semangat memberi, dan mengeratkan hubungan sesama insan. Menyemarakkan lagi makna perayaan ini, Yayasan Kossan telah melaksanakan Program Agihan Hari Raya 2025 sebagai usaha tahunan untuk menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.
Tiga lokasi telah terlibat dalam program kali ini. Di Sekolah Kebangsaan Tok Muda dan Sekolah Kebangsaan Sungai Serdang, seramai 30 murid dari setiap sekolah menerima beg hadiah Hari Raya yang mengandungi juadah tradisional dan duit raya. Kehadiran pasukan Yayasan Kossan menyerikan lagi suasana, sambil menyampaikan sumbangan dengan penuh mesra.
Bagi warga emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Tanjung Malim, Yayasan Kossan menaja majlis rumah terbuka Hari Raya yang berlangsung dalam suasana penuh kehangatan dan silaturahim. Di Pusat Jagaan Titian OKU Nur pula, satu jamuan istimewa telah diatur untuk semua penghuni, disertai dengan pemberian duit raya. Seramai 12 sukarelawan Yayasan Kossan turut turun padang, meluangkan masa bersembang, menyanyi, dan bermain bersama-sama penghuni bagi menceriakan hari mereka.
Yayasan Kossan akan terus komited dalam usaha memupuk semangat prihatin dan kebersamaan. Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai program kami sebagai sukarelawan atau menyumbang demi menjayakan inisiatif akan datang.