PROJEK
Projek Sosial: Little Chef
(September & November 2025)
Aktiviti menyeronokkan dan penuh pembelajaran menanti seramai 120 peserta cilik daripada Tadika Perpaduan Taman Sri Putri, Tadika Nilam Comel, serta PPKI SK Taman Klang Utama menerusi program Little Chef anjuran Yayasan Kossan (YK). Program ini diadakan di Pizza Hut Setia Alam dan bertujuan memberi pengalaman pembelajaran berasaskan aktiviti kepada kanak-kanak melalui pendekatan “belajar sambil bermain”.
Dengan bimbingan staf Pizza Hut, kanak-kanak diperkenalkan kepada bahan-bahan yang digunakan dalam penyediaan pizza dan proses penyediaan dari awal hingga akhir. Setiap peserta diberikan doh pizza kosong dan berpeluang menyediakan pizza mereka sendiri, lengkap dengan topping pilihan.
Sambil menunggu pizza siap dibakar, mereka turut menikmati aktiviti mewarna yang disediakan oleh pihak Pizza Hut. Kegembiraan jelas terpancar apabila semua peserta akhirnya menikmati pizza hasil tangan mereka sendiri bersama kentang goreng dan minuman.
