PROJEK

Bantuan Sosial: Rancangan Makanan Tambahan untuk Kanak-kanak Kurang Bernasib Baik (Januari 2022)

Setiap seorang yang pernah melibatkan diri dalam kerja komuniti tahu bahawa sekecil-kecil sumbangan boleh bantu meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan. Tiada sumbangan yang terlalu kecil -malah, apa yang penting ialah pemikiran, usaha, kesinambungan dan keprihatinan yang terus kita curahkan kepada mereka yang memerlukan, sama ada golongan muda atau orang tua. Dengan pemikiran ini, Yayasan Kossan melancarkan projek untuk membantu menaja sarapan pagi kepada pelajar sekolah rendah yang kurang kemampuan sebagai persediaan untuk mengharungi hari yang panjang di sekolah.

Kos bagi setiap hidangan adalah RM3.00 dan kami telah berusaha untuk menaja sarapan pagi untuk pelajar terpilih bagi sesi persekolahan 2022 bermula Mac 2022 hingga Februari 2023. Tiga buah sekolah telah dipilih untuk projek ini, iaitu SK Bukit Kapar, SJKT Chuen Min, dan SJKT Ladang Highlands. Tiga puluh pelajar dari setiap sekolah telah dipilih untuk ditaja pada tahun persekolahan ini, dan kami berharap lebih ramai lagi akan ditaja pada bulan dan tahun akan datang.