PROJEK

Projek – Bantuan Sosial: Majlis Berbuka Puasa Ramadan YK

(April 2023)

Yayasan Kossan sentiasa bersemangat untuk memeriahkan perayaan rakyat Malaysia dengan menyebarkan kegembiraan dan kasih sayang, termasuklah pada bulan Ramadan. Pada tahun ini, kami telah menganjurkan majlis berbuka puasa di dua buah rumah anak yatim, iaitu Rumah Penyayang Ulin Nuha dan Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al Mahabbah.

Pada tahun ini, kami dapat bekerjasama dengan Bengkel Daya Klang, sebuah institusi yang menyediakan peluang pekerjaan berkaitan dengan jahitan, sulaman, roti dan pastri, dobi, runcit dan bistro (restoran). Untuk program ini, pekerja OKU di Bengkel Daya Klang di bawah bimbingan guru-guru institusi telah membantu kami menyediakan nasi putih, kari ayam, sayur-sayuran campur, buah-buahan, sambal belacan dan minuman kotak.

Bengkel Daya Klang telah menerima sokongan kewangan dari Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor untuk menampung kos operasi institusi tersebut. Bagi pihak Yayasan Kossan, kami berbesar hati dengan peluang untuk bekerjasama dengan mereka dalam meraikan kedua rumah anak yatim ini atas usaha mereka untuk menjaga anak-anak yatim yang memerlukan. Jom, mari kita sama-sama sebarkan kasih sayang pada bulan Ramadan ini.