PROJEK
Perayaan Deepavali Yayasan Kossan 2017
Deepavali adalah perayaan yang disambut oleh penganut agama Hindu di seluruh dunia. Juga dikenali sebagai Diwali, ianya disambut untuk meraikan kemenangan kuasa kebaikan terhadap kuasa kejahatan atau secara simboliknya cahaya menerangi kegelapan.
Bersempena dengan perayaan ini, Yayasan Kossan telah menganjurkan perayaan Deepavali di Destiny Home Care.
Destiny Home Care adalah kediaman untuk orang tua, orang sakit, anak-anak yatim dan remaja bermasalah, di mana ibubapa dan pihak berkuasa sekolah menghadapi kesukaran untuk mendisiplinkan mereka. Tujuan Destiny Home Care ini adalah untuk memulih dan membina kembali kehidupan mereka yang telah dipengaruhi oleh unsur-unsur yang tidak diingini. Ini bukanlah satu tindakan dan pencapaian yang kecil dari pengasas Destiny Home Care, Rev. Stephan Samuel.
Kami tiba ke rumah tersebut sekitar waktu tengah hari dan menghidangkan makanan yang enak kepada orang-orang tua, dewasa dan kanak-kanak.
Selepas makan tengah hari, kami mengatur beberapa aktiviti yang menarik seperti seni mewarna menggunakan pasir dengan kanak-kanak dan pertandingan menghiasi ‘Kolam’ dengan para remaja yang menjadikan aktiviti-aktiviti tersebut lebih menarik. Kolam adalah satu seni hiasan lantai traditional yang menggunakan beras yang diwarnakan.
Kami di Yayasan Kossan dapat merasa satu kepuasan kerana dapat membawa kegembiraan dan senyuman kepada semua yang berada di Destiny Home Care.
Aktiviti ini telah memberi kegembiraan dan keseronokan kepada semua orang yang terlibat.
Kami di Yayasan Kossan mengucapkan Selamat Hari Deepavali 2017!