PROFIL KAMI 
MESEJ DARI PENGASAS
Selamat datang ke Yayasan Kossan!!

Pengasas Yayasan Kossan
Telah menjadi visi peribadi saya untuk menyumbang kepada masyarakat apabila perniagaan kami telah berjaya. Visi ini mendorong saya untuk terus memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan kepercayaan. Sejak penubuhan kami pada akhir tahun 70-an, kami berusaha secara konsisten untuk memberikan sumbangan dan menawarkan pelbagai skim bantuan kepada warga Malaysia dan badan-badan kebajikan yang kurang berkemampuan.
Yayasan Kossan merupakan satu wadah yang menggabungkan pelbagai aktiviti dermawan untuk memenuhi komitmen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami. Yayasan ini memberi tumpuan kepada 2 bidang utama – Pendidikan dan Kesejahteraan Sosial yang merangkumi bantuan perubatan dan kewangan. Saya percaya bahawa dengan model filantropi ini, tanggungjawab kita kepada masyarakat akan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, berterusan, dan memberi impak yang lebih berkesan.
Fokus utama kami adalah dalam aspek pendidikan yang saya anggap sebagai penyelesaian utama dalam memerangi kemiskinan. Yayasan Kossan menawarkan bantuan pendidikan kepada para sarjana yang layak tetapi kurang berkemampuan. Harapan saya adalah untuk melihat para sarjana yang berpotensi dapat menikmati peluang untuk belajar tanpa mengira bangsa bagi membolehkan mereka untuk memperoleh kecemerlangan.
Kami juga komited untuk menjaga dan membantu mereka yang tidak berkemampuan dan kurang bernasib baik dengan menawarkan bantuan perubatan dan skim bantuan kewangan bagi mengurangkan beban mereka. Warga emas yang mengalami masalah kewangan dan tiada tempat bergantung, ibu-ibu tunggal, kumpulan minoriti yang lemah dan ditindas, serta individu kurang berkemampuan yang menderita penyakit kritikal merupakan fokus utama dalam skim bantuan ini. Kami sedar bahawa kami mungkin tidak dapat menjadikan dunia ini lebih baik dari apa yang kami mahukan, tetapi kami yakin bahawa kami dapat mencoret lebih banyak warna dalam kehidupan seseorang dengan memberikan bantuan pada masa-masa yang memerlukan.
Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, kami bertanggungjawab untuk membantu dalam membina sebuah negara yang lebih baik dan mempromosikan perpaduan nasional. Kami berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni untuk didiami serta sebagai platform yang kondusif dalam mencapai tujuan dan mengembangkan perniagaan kami. Sehubungan itu, Yayasan Kossan telah memperuntukkan sejumlah dana untuk menaja pelbagai aktiviti dan program berkaitan pemuliharaan alam sekitar, kesenian dan persembahan budaya; serta pemupukan keharmonian antara kaum.
Dana bagi Yayasan Kossan disumbangkan dan diperoleh dari keuntungan perniagaan Kossan Rubber Industries Bhd. Ini menunjukkan bahawa apabila prestasi perniagaan kami meningkat dengan jumlah keuntungan yang berlipat ganda, Yayasan Kossan akan memiliki jumlah dana serta kapasiti yang lebih besar untuk menolong lebih banyak orang. Oleh itu, demi kebaikan bersama, kami berjanji akan lebih bekerja keras dalam perniagaan kami!
Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli Lembaga Pemegang Amanah yang menerajui Yayasan Kossan serta pasukan sekretariat yang terdiri daripada para pekerja Kossan Rubber Industries Bhd. yang sentiasa berdedikasi dan bersedia untuk melangkah lebih jauh bagi menjayakan objektif penubuhan Yayasan Kossan dan merealisasikan segala impian saya. Marilah kita bekerjasama untuk menaiktaraf dan memberikan kehidupan yang lebih baik untuk semua.
Terima kasih.