PROJEK
Projek Sosial: Karnival Kesihatan & Keselamatan YK 2025
(Julai 2025)
Karnival Kesihatan & Keselamatan anjuran Yayasan Kossan kembali lagi untuk tahun 2025, berlangsung selama dua hari pada 12 dan 13 Julai, dari 9.00 pagi hingga 4.30 petang. Seramai 83 sukarelawan terlibat dalam menjayakan program tahunan ini yang menyasarkan kesedaran awam tentang kesihatan dan keselamatan.
Karnival ini telah dirasmikan oleh ACP Vijayakumar A/L Samachulu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, bersama barisan Exco dan pemegang amanah Yayasan Kossan. Sebanyak 41 pempamer mengambil bahagian, terdiri daripada pelbagai agensi dan vendor kesihatan serta keselamatan yang menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma dan mempamerkan produk serta perkhidmatan mereka.
Pelbagai ceramah berkaitan kesihatan dan keselamatan turut diadakan sepanjang dua hari berlangsung. Pusat Darah Negara, antara pempamer setia setiap tahun, berjaya mengumpul sebanyak 89 beg darah hasil sokongan para pengunjung.
Secara keseluruhan, karnival ini menerima kehadiran seramai 1,064 orang. Yayasan Kossan mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak dan komited untuk terus memperkasa kesedaran kesihatan dalam komuniti.