PROJEK
Bantuan Sosial: Sumbangan kepada Mangsa Banjir (Januari 2022)
Banjir dahsyat yang melanda Selangor pada 18 Disember 2021 telah menyebabkan kerosakan besar kepada rumah dan kenderaan mereka yang terlibat. Di sesetengah kawasan, seluruh perbandaran telah terjejas akibat banjir yang akan mengambil masa berbulan-bulan, jika tidak bertahun-tahun, untuk pulih dari segi kewangan.
Salah seorang mangsa banjir yang kami telah kenal pasti ialah Puan Latipah binti Sulaiman. Beliau merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai enam orang anak yang berumur antara enam hingga 21 tahun. Salah seorang daripadanya juga menghidap penyakit cerebral palsy. Bersama 12 sukarelawan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, kami membantu membersihkan rumahnya dan mencuci pakaiannya yang berlumpur akibat banjir. Kami turut menyumbangkan barangan rumah seperti peti sejuk, dapur memasak, almari plastik, dan pengering pakaian, serta bekalan barangan makanan.
Walaupun kami tahu bahawa sumbangan yang diberikan adalah teramat kecil jika dibandingkan dengan bebanan yang amat besar yang ditanggung oleh mangsa banjir, namun kami berharap usaha ini dapat mengetengahkan cerita-cerita mereka yang memerlukan. Kami berharap semakin ramai rakyat Malaysia akan terus menghulurkan tangan untuk membantu rakyat kita, tidak kira di mana mereka berada.